Haram 01

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ  (151)

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (152)

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (153)

Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.(151)

Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. – Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya – “dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)”.(152)

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (153)

Al-Hakim meriwayatkan daripada ‘Ubadah bi As-Somit, katanya , Rasulullah s.a.w bersabda: Siapakah dikalangan kalian yang berbaiah kepada Aku di atas tiga perkara ? Kemudian Baginda s.a.w membaca ayat  ini sehingga habis dan bersabda lagi .

«فَمَنْ وَفَى فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ وَمَنِ انْتَقَصَ مِنْهُنَّ شَيْئًا فَأَدْرَكَهُ اللهُ بِهِ فِي الدُّنْيَا كَانَتْ عُقُوبَتهُ، وَمَنْ أَخَّرَ إِلَى الْآخِرَةِ فَأَمْرُهُ إِلَى اللهِ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ عَفَا عَنْه»

Sesiapa yang menunaikan janji, maka balasannya di sisi Allah, tetapi sesiapa yang jatuh ke dalam kekurangan dan Allah menghukumnya untuknya dalam kehidupan ini, maka itulah balasannya. Barangsiapa Allah menangguhkannya hingga akhirat, maka urusannya adalah dengan Allah. Jika Dia menghendaki, Dia akan menghukumnya, dan jika Dia kehendaki, Dia akan memaafkannya.) ”

TAFSIR

Katakanlah wahai Muhamad, kepada para musyrikin yang mengabdikan diri kepada selain Allah, mengharamkan apa yang direzekikan Allah kepada mereka, membunuh anak-anak mereka, mengharamkan dan menghalalkan untuk diri mereka menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan kepada mereka: Ayuh kalian dan dengarlah apa yang saya akan bacakan dan ceritakan kepada kalian dan saya ceritakan apa yang sebenarnya Tuhan kalian haramkan dengan wahyu dan perintah daripada-Nya. Bukan sangka-sangkaan. Hanya Allah sahaja yang berhak mensyariatkan dan mengharamkan sedangkan saya adalah pesuruh-Nya yang menyampaikan apa yang diturunkan. Iaitulah sepuluh pesanan. Lima daripada wasiat itu dalam bentuk larangan  dan lima lagi dalam bentuk perintah.

Wasiat-wasiat tersebut adalah seperti berikut:

  1. Meninggalkan Syirik kepada Allah    ﴿أَلاَّ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً﴾ 

Allah mewasiatkan supaya tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun sekalipun sesuatu itu sangat hebat kejadiannya seperti matahari, bulan, planet-planet atau sangat hebat dari kedudukannya seperti malaikat, para nabi dan orang-orang soleh. Semua itu adalah makhluk dan hamba kepada Allah s.w.t.

﴿ إِن كُلُّ مَن فِى السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ إِلاَّ آتِى الرَّحْمَـنِ عَبْداً ﴾

Ertinya: Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

Maka wajib kalian mengabdikan diri hanya kepada Allah dan meninggalkan perhambaan kepada hawa nafsu.

  • Berlaku ehsan kepada dua ibubapa   ﴾ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ﴿

Berlaku ehsan kepada dua ibubapa dengan ehsan yang sempurna dan keluarnya daripada hati yang ikhlas.

Seringkali Allah s.w.t menyertakan larang berlaku syirik dan mentaati Allah dengan arahan berbuat baik kepada kedua ibubapa kerana Allah s.w.t adalah sumber kejadian dan sumber rezeki. Ibubapa adalah perantara. Kedua-duanya memikul beban pendidikan dan menghalang daripada kemudharatan terhadap anak-anak. Firman Allah:

﴾ وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ﴿

Ertinya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa . . .Al-Isra’ :23

 ﴿أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ    وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ﴾

Ertinya: . . bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Luqman: 14-15)

Berbuat ehsan kepada ibubapa adalah bermuamalah dengan kedua-duanya dengan muamalah yang mulia dan terbitnya adalah daripada naluri dan kasih sayang. Bukan lahir dari perasaan takut dan gementar.

  • Larangan Membunuh Anak Perempuan   ﴾ وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ ﴿

Allah s.w.t berpesan supaya berlaku baik kepada dua ibubapa dan orang-orang tua di atasnya, tambahan juga dipesan oleh Allah supaya berbuat baik kepada anak cucu. Pesan Allah s.w.t ialah “ Janganlah kalian membunuh anak-anak kerana takutkan kefakiran kerana Allah yang mengurniakan rezeki kepada kamu dan juga mereka. Ertinya Allah mengurniakan mereka rezeki sebagai ikutan untuk kamu. Jangan takutkan kemiskinan sekarang dan jangan takut kemiskinan yang dijangkakan kerana sesungguhnya Allah s.w.t yang menjamin rezeki hamba-hambanya.  Ini seiring dengan firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 31.

 ﴿وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا  ﴾

Ertinya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.

  • Larangan Melakukan Kerja-Kerja Keji ﴾ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ ﴿

Awas dari mendekati perkara-perkara keji. Iaitu setiap perkara yang besar kesalahannya, dosanya dan keburukannya samada dalam bentuk perkataan atau pun perbuatan seperti zina, tuduhan zina terhadap wanita mukminat yang baik, samada secara terang-terangan atau secara rahsia.  Firman Allahdalam surah al-A’raf:33

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.

  • Larangan Membunuh Tanpa Kebenaran  وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ﴿

Ini termasuk di dalam perkara keji. Allah s.w.t melarang kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Islam mencorobohinya termasuk mereka yang mempunyai ikatan perjanjian seperti ahli kitab yang tinggal di dalam negara Islam dengan janji keamanan.

Sabda Rasulullah s.a.w:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا، عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ، وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ

Ertinya: Aku diperintahkan memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tidak ada ilah selain Allah dan bahawa Muhamad itu utusan Allah, mereka mendirikan solat, mereka menunaikan zakat. Apabila mereka melakukan demikian, maka darah dan hartabenda mereka terselamat kecuali dengan haknya. Hisab mereka di hadapan Allah.

  • Menjaga Harta Anak Yatim    وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ﴿

Janganlah kamu mengambil sesuatu pun dari harta anak Yatim yang kamu kelolakan kecuali pada perkara yang membawa kemaslahatan kepada mereka. Menjaga dan mengembangkan harta anak yatim, memelihara dari mara bahaya. Berbelanja mengikut keperluan.

Allah berfirman:

 ﴿ إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا﴾

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. An-Nisaa’ : 10

  • dan 8. Mencukupkan sukatan dan timbangan  ﴾ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ ﴿

Ertinya hendaklah kalian menyempurnakan sukatan apabila anda membuat sukatan untuk masyarakat. Jangan cuba membuat tambahan apabila menyukat untuk diri sendiri. Sempurnakanlah timbangan apabila anda menimbang untuk diri sendiri atau untuk orang lain. Tidak boleh ada tambahan atau kurangan. Lakukanlah dengan sempurna dan adil.

Firman Allah s.w.t:

  ﴿وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ   الَّذِينَ إِذَا اكْتَالُوا عَلَى النَّاسِ يَسْتَوْفُونَ  وَإِذَا كَالُوهُمْ أَوْ وَزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ  ﴾

 Ertinya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (Al-Mutaffifin : 1-3)

  • Adil Dalam Perkataan atau Hukuman وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى ﴿

 Ertinya hendaklah kalian berlaku adil di dalam percakapan penyaksian atau pun hukum pengadilan, sekalipun perkataan itu terhadap kaum kerabat kalian. Dengan keadilanlah akan dapat memperbaiki hal ehwal masyarakat mahu pun individu.

Frman Allah s.w.t: (An-Nisaa’ : 135)

  ﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ﴾

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

  1. Menunaikan Janji ﴾ وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ﴿

Hendaklah kalian memenuhi janji-janji dengan Allah s.w.t., iaitu dengan melaksanakan dan melakukannya. Mentaati Allah pada apa sahaja suruhan dan larangannya. Beramal dengan Kitab Allah dan sunnah Nabi s.a.w.

Allah s.w.t telah berfirman:

 ﴿أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ ﴾

Ertinya: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Semoga perkongsian ini menjadi sebuah penghayatan hebat di dalam kehidupan kita semua.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply