Dr Nurazmallail

Ust. Dr. Nurazmallail bin Marni (nurazmal@utm.my)

Pensyarah Kanan, Fakulti Tamadun Islam, UTMALK KMMB & Ketua JKPK Johor

Pengenalan

Kehidupan bermasyarakat adalah lumrah yang tidak dapat lari daripada kewujudan pemimpin dan yang dipimpin. Kepimpinan adalah fitrah setiap makhluk walaupun kepimpinan manusia bersifat lebih kompleks. Kejayaan dan pencapaian sesuatu organisasi adalah bergantung kepada gaya kepimpinan pemimpin dan kesedaran mereka dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab menggerakkan masyarakat menuju keredaan Allah.

Konsep Amanah dan Kepimpinan

Dalam bahasa Arab, kata amanah dapat diertikan sebagai titipan, kewajipan, ketenangan, kepercayaan, kejujuran, dan kesetiaan. Daripada pengertian bahasa dan pemahaman tematik al-Qur’an dan hadis, maka amanah dapat difahami sebagai sikap mental yang mengandungi unsur kepatuhan kepada hukum, tanggungjawab kepada tugas, kesetiaan kepada komitmen, dan keteguhan dalam memegang janji.

Dalam perspektif Islam, amanah memiliki makna dan kandungan yang luas.  Seluruh makna dan kandungan tersebut berpusat pada satu pengertian bahawa setiap orang merasakan bahawa Allah SWT sentiasa menyertainya dalam setiap urusan yang diberikan kepadanya, dan setiap orang memahami dengan penuh keyakinan bahawa ia akan dipertanggungjawabkan atas urusan tersebut.

Manakala kepimpinan pula disebut dengan beberapa istilah antaranya khilafah (sistem berasaskan khalifah), imamah (sistem berasaskan imam), qiyadah, zi’amah, ri’ayah, riyasah, dan siyadah.  Justeru, kepimpinan boleh diertikan sebagai;

  1. Usaha untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan individu untuk melakukan sesuatu tugas bagi mencapai objektif tertentu.
  2. Tingkah laku individu apabila dia sedang mengarah aktiviti kumpulan ke arah mencapai matlamat yang dikongsi bersama.
  3. Seni menyusun hubungan antara individu dengan beberapa kumpulan yang mengarah mereka ke arah sesuatu matlamat yang dirancangkan.

Kewajipan Menunaikan Amanah Kepada Yang Berhak

Amanah adalah kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW mengajarkan kita agar saling berpesan dan memohon bantuan Allah SWT dalam menjaganya, bahkan ketika seseorang hendak bermusafir sekalipun maka kita dianjurkan agar mendoakannya dengan lafaz:

أَسْتَوْدِعُ اللهَ دِيْنَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Maksudnya: “Aku menyerahkan agamamu, tanggungjawabmu, dan perbuatanmu yang terakhir kepada Allah.”

Menunaikan amanah amat dititikberatkan dalam Islam.  Dalilnya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, daripada Anas bin Malik berkata bahawa: “Rasulullah SAW tidak pernah berkhutbah untuk para sahabat kecuali beliau bersabda:

لاَ إِيْمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِيْنَ لِمَنْ لاَ عَهْدَ لَهُ

“Tiada keimanan bagi orang yang tidak memiliki amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak pandai memeliharanya”.

Orang yang diberikan amanah mendapat kebaikan yang banyak jika menunaikan amanah dan begitulah sebaliknya mendapat keburukan yang banyak jika mengkhianati amanahnya.  Hal ini selari dengan firman Allah SWT yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (QS Al Anfaal 8: 27)

Allah SWT memerintahkan kita agar menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya. Allah berfirman yang maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum sesama manusia supaya kamu memutuskan hukuman dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (QS An Nisaa’ 4 : 58)

Untuk menentukan siapa orang yang berhak dan sanggup menerima amanah, maka kita diberikan pedoman oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW bahawa orang tersebut mestilah kompeten.  Rasulullah SAW bersabda: “Bila amanah disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya”. Sahabat bertanya, “Bagaimana bentuk penyia-nyiaannya?” Beliau bersabda, “Bila kuasa diserahkan kepada orang yang tidak berkompeten, maka tunggulah kehancurannya” (HR Bukhari dan Muslim).

Kompetensi yang dimaksudkan mestilah bersifat menyeluruh, bukan sekadar ahli dalam bidang yang akan dibebankan kepadanya, tapi juga mencakupi sifat taqarrubnya dengan Allah dan sifat-sifat mahmudah yang dimilikinya.  Contohnya, kompetensi yang dimiliki oleh Nabi Yusuf as, seorang nabi yang sangat dekat kepada Allah, amanah, dan memiliki keahlian dalam bidangnya.  Hal ini diabadikan dalam Al-Quran: “Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendahara negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.” (QS Yusuf 12: 55)

Kompetensi menyeluruh seperti inilah yang harus ditonjolkan. Kita tidak boleh memilih pemimpin atas pertimbangan hawa nafsu dan kekerabatan (nepotisme). Jika hawa nafsu dan kekerabatan yang diutamakan, maka kita telah melakukan suatu pengkhianatan yang besar kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman.  Dalam hal ini Rasulullah SAW menegaskan: “Barang siapa mengangkat seseorang berdasarkan kesukuan atau fanatisme, sementara ada orang lain yang lebih disukai Allah daripadanya, maka ia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman” (HR Al-Hakim).

Jika amanah diberikan kepada seseorang kerana kompetensinya, maka wajiblah ia menunaikannya dan tidak boleh mengelak daripadanya. Dalam hal ini, menjaga kepentingan umum, iaitu mengelak kemudaratan dan menjaga kemaslahatan masyarakat adalah lebih penting berbanding menjaga kepentingan peribadi.  Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang diserahi kekuasaan urusan manusia lalu menghindar (mengelak) melayani kaum lemah dan orang-orang yang memerlukannya, maka Allah tidak akan mengendahkannya pada hari kiamat.” (HR. Ahmad)

Sebuah riwayat yang menceritakan ayat tentang memberikan amanat dan hak kepada yang berhak serta menghukum dengan adil ialah sebuah kisah ketika terjadinya pembukaan kota Mekah.  Penjaga Kaa’bah pada ketika itu ialah ‘Uthmân bin ‘Abd al-Dâr dan beliau telah mengunci Ka’abah untuk menghalang Nabi SAW dan para sahabat daripada memasukinya. Melihat keadaan demikian maka al-‘Abbâs mengambil kunci tersebut daripada ‘Uthmân bin ‘Abd al-Dâr. Nabi SAW mengarahkan al-‘Abbâs mengembalikan kunci tersebut dan meminta maaf kepada ‘Utsmân bin ‘Abd al-Dâr.  Setelah itu, ‘Ali RA menceritakan kepada ‘Uthmân bin ‘Abd al-Dâr bahawa ayat ini (QS An Nisaa’ 4 : 58) diturunkan kepadanya. ‘Utsmân bin ‘Abd al-Dâr pun memeluk Islam.  Walaupun ayat ini diturunkan oleh sebab yang tertentu, namun ia tetap berlaku secara umum dan bukan hanya tertakluk pada sebab kisah ini.  Hal ini menepati sebuah kaedah dalam Ulum al-Qur`an, iaitu العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب (pengajaran ayat adalah berdasarkan keumuman lafaz dan bukan berdasarkan kekhususan sebab).

Kelebihan Menjadi Pemimpin

Lantaran besarnya tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin, maka sudah pasti terdapat kelebihan bagi orang yang layak dan terpilih menjadi pemimpin. Antara kelebihan menjadi pemimpin ialah sebagaimana maksud hadis riwayat Ahmad; “Makhluk yang paling dicintai Allah SWT ialah imam (pemimpin) yang adil dan yang paling dibenci Allah SWT ialah imam yang zalim”. Demikian juga hadis berikut yang lafaznya;

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِيْ عِبَادَةِ اللهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسْجِدِ إذَا خَرَجَ مِنهُ حَتَّى يَعُوْدَ إِلَيْهِ، وَرَجُلانِ تَحَابّا فِي اللهِ فَاجْتَمَعَا عَلَى ذَلِكَ وَافْتَرَقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِياً فَفَاضَتْ عَيْنَاه، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأةٌ ذَاتُ مَنْصَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنّي أَخَاف اللهَ رَبَّ العَالَمِيْنَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاها حَتّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ. – (رواه البخاري ومسلم والترمذي والنسائي وأحمد عن أبي هريرة وأبي سعيد).

Maksudnya: “Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya (Hari Kiamat); pemimpin yang adil, pemuda yang hidup dalam ibadah, orang yang hatinya berpaut di masjid, dua insan yang berkasih sayang kerana Allah-bertemu dan berpisah kerana-Nya, orang yang mengingati Allah hingga mengalirkan air mata, orang yang digoda wanita kaya dan cantik untuk melakukan maksiat lantas berkata: Aku takut akan Allah Tuhan alam semesta, orang yang bersedekah secara bersembunyi seakan-akan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ahmad).

            Hadis di atas menunjukkan betapa tingginya kedudukan sebagai pemimpin yang adil berbanding enam golongan lain. Secara tidak langsung, hadis tersebut juga menunjukkan bahawa penglibatan sebagai pemimpin yang adil adalah lebih utama berbanding melakukan ibadah, berkasih sayang sesama insan, menitiskan air mata keinsafan, menahan godaan nafsu, dan ikhlas dalam bersedekah.

Hak Dan Tanggungjawab Kepimpinan Islam

Hak sebagai pemimpin yang dituntut dalam Islam ialah mendapat kepatuhan dan taat setia serta mendapat kerjasama daripada golongan yang dipimpinnya.  Pemimpin juga berhak diberi teguran dan nasihat menerusi cara yang berhikmah dan patuh syariat.

Manakala tanggungjawab seorang pemimpin terhadap rakyatnya ialah menegakkan kebenaran Islam, memelihara kemuliaan insan, memakmurkan bumi, amar makruf dan nahi mungkar, serta memperbaiki masyarakat melalui guna tenaga yang berpatutan.

Amanah dan Kepimpinan

Sifat amanah ada pada setiap orang dan setiap orang memiliki amanah sesuai dengan apa yang dibebankan kepadanya. Hal ini selari dengan maksud hadis Rasulullah SAW: “Masing-masing kalian adalah pemimpin, dan masing-masing akan ditanya tentang kepemimpinannya, seorang imam adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepemimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya, dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya tentang kepemimpinannya, dan seorang pembantu adalah pemimpin dalam memelihara harta tuannya dan ia akan ditanya pula tentang kepemimpinannya”. (HR Imam Bukhari).

Keikhlasan jiwa mencurahkan tenaga untuk mengatur, menyusun, dan menjaga kepentingan masyarakat yang dipimpinnya adalah motivasi terpenting yang akan memastikan tidak berlaku kekecewaan daripada landasan yang benar.  Keikhlasan jiwa mampu menepis dan menyelamatkan pemimpin yang ada daripada membolot keuntungan dan mengutamakan kepentingan peribadi berbanding melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang seharusnya dipikul.  

Seterusnya, pemimpin mestilah menyedari bahawa Pemimpin dan kepimpinan merupakan amanah bagi individu yang layak dan diperakui mengambilnya dengan hak.  Kedudukan sebagai pemimpin bukan suatu yang boleh dibangga atau dimegahkan, sebaliknya ia merupakan suatu bebanan yang amat berat untuk dilaksanakan serta menyiapkan para pemimpin dengan hati dan fikiran yang terbuka untuk bermusyawarah, menerima nasihat, dan memperbetulkan segala kesilapan yang berlaku.  Justeru, kepimpinan merupakan pelaksanaan tanggungjawab daripada seorang insan kepada khalayak insan. Tanggungjawab tersebut adalah satu taklifan dan bukanlah suatu kebanggaan mahupun kemegahan.  Jika salah tujuannya, maka ia mampu berubah menjadi faktor yang membawa kepada kehinaan dan penyesalan pada hari kemudian.  Dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW memberi peringatan kepada Abu Dzar dengan katanya; “Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”.

Hal ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan Rasul–Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan ke atas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al–Anfal, ayat ke 27).

Pesanan Allah SWT amat wajar dijadikan sebagai “pemerhati” dan dipahatkan dalam diari harian seorang pemimpin.  Tanggungjawab seorang pemimpin bermula dari rumah hinggalah ke sebuah negara. Mereka yang dipimpin akan menjadikan tingkah laku pemimpin sebagai bekal dan panduan tatkala membuat pemilihan. Tidak dinafkan bahawa pemimpin semakin penting dalam menyatukan dan menangani keperluan serta keinginan yang berbagai ragam dalam kalangan ahli masyarakat. Begitulah pentingnya pemimpin dalam sesebuah masyarakat yang inginkan kelicinan dan kesejahteraan perjalanan hidup di dunia dalam menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Dalam buku bertajuk al-Siyasah al-Syar’iyyah tercatat amanat untuk pemimpin yang menyatakan bahawa: “Perlulah diketahui dan disedari bahawasanya memimpin manusia adalah termasuk dalam kewajipan terbesar dalam agama.Tidak akan tertegak agama kecuali dengan kepimpinan. Sesungguhnya keperluan anak Adam itu tidak akan tercapai secara sempurna kecuali dengan keadaan berjemaah kerana sifat saling memerlukan antara satu sama lain.  Justeru, dalam sebuah jemaah itu sudah pasti memerlukan seorang pemimpin”. Oleh itu, ternyata, setiap inci tugasan kepimpinan itu berkait secara langsung dengan membangunkan agama. Seorang pemimpin bukan sahaja menyeru rakyat dan seluruh warga yang dipimpinnya agar mentaati Allah SWT dalam urusan ibadah, tetapi juga meliputi segenap aspek dan perincian kehidupan sama ada ekonomi, sosial, politik, dan muamalat.”

Kesungguhan dalam menjalankan amanah dan melaksanakan tanggungjawab akan membantu pemimpin menyusun masyarakat yang harmoni. Kesungguhan pemimpin yang ikhlas membela nasib masyarakat sekelilingnya akan membolehkan mereka menabur bakti kepada masyarakat tanpa mengira waktu.

Selain daripada sifat amanah dalam kepimpinan, terdapat tujuh faktor yang menuju kepada kepimpinan yang berkesan, iaitu kemampuan mental, minat dan kebolehan yang luas, kemahiran komunikasi, kematangan, kekuatan motivasi, kemahiran sosial, dan keupayaan mentadbir.

PERINGATAN BUAT PEMIMPIN

Pemimpin dalam Islam bukanlah satu anugerah kemuliaan yang boleh dimegahkan atau pemilikan kuasa untuk digunakan sesuka hati. Sebaliknya, pemimpin ialah seorang yang memegang amanah daripada rakyat yang dipimpin dan menanggung tanggungjawab daripada Allah SWT untuk memastikan masyarakat yang dipimpinnya memperolehi faedah duniawi mahupun ukhrawi daripada kepimpinannya. Memandangkan besarnya amanah yang perlu dipikul dan beratnya tanggungjawab yang mesti dilaksanakan, maka Allah SWT telah meletakkan pemimpin sebagai pihak ketiga yang wajib dipatuhi selepas-Nya dan selepas Rasul-Nya. Perintah taat kepada pemimpin dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, Rasul dan pemimpin daripada kalangan kamu.” (Surah An –Nisa,ayat 59).

Individu yang mahu memimpin atau bercita-cita untuk memimpin dan bertindak dalam kalangan manusia hendaklah berlaku adil dan ihsan walapun melibatkan musuh dalam medan perjuangan. Sifat tersebut ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu menangani sebarang permasalahan ketika berhadapan dengan puak Quraisy.  Allah SWT menyuruh agar berbuat adil dengan wajar, sederhana dan seimbang, tidak cenderung kepada hawa nafsu, tiada pengaruh emosi kasih dan benci, tiada soal kepentingan mahupun mengambil kesempatan, dan tidak takut kepada yang kuat dan berani.  Keadilan itu tetap berjalan lurus memberikan sukatan dan pertimbangan yang saksama kepada semua.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”.  (al-Nisaa’, 3: 58)

Perintah awal daripada ayat ini adalah supaya menunaikan amanah dengan memberikannya kepada orang yang berkeahlian. Sama ada amanah tersebut adalah hak bagi dirinya sendiri mahupun hak bagi orang lain serta hak Allah secara umum.  Contoh menjaga amanah dalam hak Allah ialah seperti mematuhi perintahnya dan menjauhi larangannya. Menjaga amanah bagi hak manusia itu sendiri adalah seperti tidak melakukan kecuali apa yang bermanfaat bagi dunia dan akhirat. Sedangkan menjaga amanah bagi orang lain adalah seperti tidak menipu ketika bermuamalat. 

Keadilan dalam Kepimpinan

Setelah menetapkan amanah, maka datanglah giliran memutuskan sesuatu hukum dengan adil dalam kalangan manusia yang dipimpinnya.  Secara istilah, kata menghukum atau dalam bahasa Arab yang lebih dikenali dengan al-qada’ adalah bermaksud memisahkan persengketaan dan menghilangkan perselisihan.  Ia adalah dituntut dalam Islam berdasarkan firman Allah SWT (al-Nisa’ 2: 105);

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhayli, bahawa kata “adil” dalam ayat ini adalah bermaksud “memberikan hak kepada pemiliknya dengan jalan yang terdekat”.

Keadilan adalah asas kepimpinan dan teras kepada dasar-dasar hukum dalam Islam.  Justeru, wajib ada bagi sebuah masyarakat sosial agar yang lemah dapat mengambil haknya manakala yang kuat pula tidak merampas daripada yang lemah.  Al-Quran menyebutkan tentang keadilan di lebih daripada satu tempat.  Contohnya, surah al-Nahl ayat 90 yang berbunyi:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُون

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”.

Ibn Athiyyah menukilkan dalam tafsirnya: “Berkata al-Qadi Abu Muhammad: Adil ialah melakukan segala perkara yang difardukan dari segi akidah dan syariat, kehidupan sesama manusia dalam melaksanakan amanah dan meninggalkan kezaliman, memberikan sesuatu yang hak”.

Amanah dan khianat adalah kata-kata yang saling berlawanan makna dan saling berkaitan.  Dengan tegas Allah SWT melarang orang-orang yang beriman untuk khianat terhadap amanah daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW, yang bererti larangan daripada lalai terhadap segala perintah dan kewajipan sebagai seorang muslim, seperti solat yang merupakan amanah daripadaNya untuk dijalankan mengikut syariatnya.  Amanah daripada sesama manusia seperti amanah jabatan seorang anggota legislatif, rakyat telah memberinya kepercayaan dan amanah untuk memperjuangkan nasib rakyat.  Allah SWT dengan tegas melarang pemimpin daripada melakukan khianat.  Larangan dalam al-Quran membawa maksud kewajipan untuk dihindari dan haram hukumnya apabila tetap dilaksanakan.  Contohnya, rasuah atau korupsi yang terjadi dalam kalangan anggota legislative (perundangan).

Segala sesuatu yang ada dalam genggaman manusia adalah amanah Allah SWT. Agama adalah amanah Allah, bumi dan segala isinya adalah amanah Allah, keluarga dan anak-anak adalah amanah Allah, bahkan jiwa dan raga manusia bersama potensi yang melekat pada dirinya adalah amanah Allah SWT. Semuanya harus dipelihara dan dikembangkan.

Penutup

Perbezaan manusia daripada makhluk lain adalah dalam bab memikul amanah dan kepimpinan. Begitu juga manusia memikul tugas mengenal Rabbnya sendiri, menemukan petunjuk sendiri, beramal sendiri, dan mencapai Rabbnya sendiri.  Semua itu agar ia memikul akibat daripada pilihannya dan balasan untuknya sesuai dengan pilihannya dan amalannya.

Dalam konteks kepimpinan, sifat ikhlas dalam pekerjaan adalah amat penting dalam menjamin kesejahteraan organisasi agar sentiasa mendapat kerahmatan dan keredaan Allah SWT.  Dorongan utama ke arah keikhlasan ialah keimanan yang tinggi kepada Allah dengan beriktikad bahawa Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat apa yang kita lakukan dalam aktiviti berorganisasi dan berkepimpinan.

            Semoga kertas kerja ini dapat menjana sesuatu yang bermanfaat demi kepentingan Koperasi dan diterima di sisi-Nya sebagai amal jariah yang disebarkan kepada sesiapa yang ingin mengambil manfaat daripadanya.  Amin ya Rabbal Alamin.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply