rasullullah

Generasi para sahabat r.a adalah generasi Islam terbaik bahkan generasi manusia terbaik selain para Nabi a.s. Mereka adalah generasi benar-benar unggul yang Allah pilih mereka untuk Nabinya s.a.w.  Abdullah bin Mas’ud r.a menyebut bagaimana Baginda s.a.w mendidik generasi ini, bagaimana berinteraksi dengan mereka, bagaimana mengangkat mereka menerusi taujihat al-Quran ke martabat yang tinggi sehingga mereka menjadi model dan contoh yang diikuti. Contoh yang realistik bukan contoh khayalan. Dikalangan mereka terdapat para fuqaha’, ulama, kepimpinan tentera dan kepimpinan pengurusan. Semua mereka ditarbiyah dengan kesungguhan, jihad, kesusahan dan kesabaran. Jika pun situasi ini sukar untuk berulang, maka menjadi kewajiban nya ialah  mengetahui rahsia kehebatan dan sebab-sebab kelebihan mereka, berusaha menjadikan mereka sebagai contoh kerana  sebenarnya seluruh manusia telah mendapat manafaat yang sangat besar. Seluruh kebaikan sehingga hari kiamat, maka para sahabat pasti mendapat ganjarannya kerana merekalah yang telah menyebarkan Islam dan menyampaikannya kepada manusia.

CONTOH-CONTOH DARI TARBIYAH INI

Pertama:

Orang Arab adalah manusia yang paling cepat marah kepada dirinya, keluarganya dan juga kabilahnya. Sangat mudah untuk tercetus peperangan dan pertumpahan darah dengan hanya satu perkataan yang ucapkan atau satu kesilapan, maka mereka mula disakitkan atau dihina. Ini adalah ciri yang baik tetapi bagi dakwah terutamanya  di peringkat awalan banyak menuntut peribadi-peribadi yang mantap, tenang, berfikir dan merancang tanpa bertindak secara reaksioner.  Baginda s.a.w tetap melatih mereka dengan kesabaran, berhati-hati, bijaksana sehingga jiwa mereka menjadi tenang dan mereka mentaati perintah Allah dan perintah Rasulullah s.a.w. Dalam situasi seperti di Mekah, sangat mudah bagi umat Islam mencetuskan permasalahan di setiap buah rumah dan boleh merebak permasalahan itu sehingga menggagalkan perancangan dakwah untuk mentajmi’, tarbiyah dan persediaan namun disiplin yang dimiliki oleh para sahabat telah menjadikan segala urusan berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang. Qudwah mereka ialah Rasulullah s.a.w, ketika baginda disakiti oleh orang-orang bodoh dari kalangan Quraisy dan Baginda ke rumah . Dunia tidak pernah gelap dihadapan mata Baginda s.a.w. Fatimah r.a segera mendapatkan Rasulullah s.a.w dalam keadaan  menangis, membersihkan kepala Baginda sambil mengutuk orang-orang bodoh dari kalangan Quraisy itu. Sabda Baginda: (لا تبك فإن الله منع أبيك ) “Usah menangis kerana Allah telah melarang Ayahandamu”.   Tarbiyah ini telah menjadikan umat Islam berpindah dari satu marhalah ke satu marhalah yang lain dalam keadaan tenang segala urat sarafnya dan pandangan yang jelas, jauh dari amal-amal yang bodoh dan tergesa-gesa tanpa disiplin.

Kedua:

Di antara ciri peribadi orang Arab ialah sangat kuat individualistiknya, tidak biasa beramal secara jama’ie dalam skala besar atau melakukan ta’awun secara tersusun seperti dalam sebuah negara.  Orang Arab sangat bangga dihadapan Kisra bahawa mereka tidak dimiliki oleh sesiapa, maksudnya mereka tidak mempunyai negara.  Sikap individualistiknya terbentuk hasil dari banyak faktor antaranya, sukar untuk tunduk (ini positif dari salah satu sudut). Hari ini kita perhatikan fenomena sebegini ketika ramai orang jauh dari petunjuk dan manhaj Islam dalam kerjasama dan perpaduan, maka kita melihat orang Arab atau orang Islam secara umumnya yang berjaya secara peribadi lebih ramai berbanding yang berjaya secara jama’ie.  Rasulullah s.a.w telah mentarbiyah para sahabat dengan kesatuan hati dan  kasih sayang. Baginda sangat serius dalam tarbiyah ini. Baginda juga melatih mereka bekerjasama dan berkumpul sehingga para sahabat sampai ke darjat yang sangat tinggi, iaitu darjat ‘mempersaudarakan’ (muakhaat). Semua ini tercapai dengan pertolongan Allah s.w.t:

(لو أنفقت ما في الأرض جميعا ما ألفت بين قلوبهم ولكن الله ألف)

ertinya: “Sekalipun engkau membelanjakan  seluruh apa yang ada di atas bumi, anda tidak mampu menyatukan di antara hati-hati mereka , tetapi Allah yang menyatukan”. 

Orang-orang Islam telah sampai ke bentuk amal Jama’ie tertinggi. Ketika sayyidina Osman  r.a menugaskan satu lujnah khusus untuk menulis mashaf al-Quran dan menyatukan umat Islam di atas mashaf ini, dibentuk lujnah tersebut terdiri daripada Zaid bin Thabit, Abdullah bin az-Zubair, Said ibnu  al-‘Ash, Abdul Rahman bin al-Harith bin Hisham. Dengan pemikiran jama’ie seperti ini dan juga dengan tarbiyah yang dilaksanakan, maka umat Islam mentaati para khulafa’ ar-Rasyidin secara kewajiban agamanya bukan kerana takut atau keinginan.  Inilah di antara keistimewaan sistem khilafah yang mendapat petunjuk. Tidak ada lagi kabilah sebagai paksi kehidupan orang Arab. Tidak ada juga kesatuan politik dan sosial yang lain.  Baginda Rasulullah s.a.w telah memindahkan mereka kepada pengertian ummah. Itulah satu perpindahan yang sangat terlalu jauh kerana intima’ di sini adalah kepada akidah, memikul Risalah, penggabungan kepada satu ummah yang memiliki akar yang sangat mendalam iaitu kepada Nabi Ibrahim dan salsilah para Nabi a.s.  Telah menjadi mulia  penggabungan dengan nama-nama syar’ie (muslim, mukmin, muhajir dan Ansar)  manakala kabilah tetap menjadi satu unit masyarakat untuk menjaga keturunan dan hubungan silaturrahim.

Ketiga:

Para sahabat sepertimana manusia lain. Berbeza tabiat dan  tingkah laku. Rasulullah s.a.w memanafaatkan perbezaan ini untuk mengarahkan mereka kepada arah yang selamat. Baginda s.a.w tidak pernah berusaha merubah tabiat-tabiat yang berbeza itu  menjadi satu yang serupa. Abu Bakar r.a  berbeza dengan Umar r.a  dan Umar r.a  berbeza dengan Osman r.a dan Osman r.a pula berbeza dengan Ali r.a .

Yang terkenal pada peribadi Osman r.a  ialah beliau seorang yang sangat pemalu. Itu satu sifat yang baik kerana sabda Nabi : Malu itu daripada iman”. Sesetengah orang menganggap itu sebagai kekurangan.  Tetapi bagi Nabi s.a.w, sangat meraikan sifat-sifat ini dalam muamalah Baginda dengan Osman. Tercatat dalam kitab Sahih Muslim bahawa Abu Bakar dan Umar r.a meminta izin kepada Rasulullah s.a.w ketika Baginda  sedang berbaring pada tikar memakai kain milik Aishah r.a, maka Baginda mengizinkan Abu Bakar dan Umar untuk menyampaikan keperluan-keperluan dan hajat kedua-duanya. Kemudian Osman pula meminta izin, maka Baginda mengizinkan Osman dan Baginda berkata kepada Aishah : “Ambil dan pakailah pakaianmu ini”. Osman r.a duduk dan menyampaikan keperluan dan hajatnya lalu beredar. Kata Aishah: Wahai Rasulullah kenapa saya tidak pernah melihat Rasulullah meminta tolong ketika kedatangan Abu Bakar dan Umar sebagaimana Rasulullah meminta tolong ketika kedatangan Osman ?  Jawab Baginda: Sesungguhnya Osman seorang yang pemalu, Aku khawatir jika diizinkan dalam keadaan demikian, maka hajat dan keperluannya tidak tersampai..!

Dalam hadith lain berkaitan dua hamba wanita yang memukul duf di sisi Rasulullah s.a.w pada satu hari raya ada menyebut, bahawa tatkala Umar r.a masuk kedua-dua hamba wanita itu lari. Rasulullah s.a.w tersenyum sambil bersabda: Sesungguhnya syaitan melarikan diri darimu wahai Umar !  Peribadi Umar sangat kuat dan hebat dan cukup buat Rasulullah s.a.w hanya dengan tersenyum. Ini tidak bererti sikap Umar lebih baik daripada  Rasulullah s.a.w (wal’iyaazubillah). Menurut Ibnu Taimiyah, Rasulullah s.a.w itu seorang yang sangat pengasih dengan makhluk Allah. Manzilah baginda sangat tinggi mengatasi manzilah sahabat. Bagi mereka yang berhasrat menjadikan pengikut mereka  hanya satu pattern dan stail, maka tarbiyah tersebut adalah tarbiyah yang gagal dan bersalahan dengan fitrah semula jadi kejadian dan ciptaan Allah.

Keempat:

Seorang manusia itu memiliki bakat yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kaedah asal dalam tarbiyah ialah mendorong bakat-bakat ini  dan diberikan perhatian serta pengarahan sehingga ia tergilap dan semua orang boleh mendapat faedahnya. Rasulullah s.a.w mengenali peribadi-peribadi sahabat serta kelebihan dan juga bakat mereka. Rasulullah pernah memuji salah seorang dari kalangan mereka dan meminta supaya perbezaan peribadi itu dimanfaatkan. Daripada Anas r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Yang paling merahmati umat di kalangan umatku adalah Abu Bakar. Yang paling tegas dalam urusan Allah dari umatku ialah Umar. Yang Paling benar sifat malunya ialah Osman bin Affan. Yang paling tahu halal dan haram ialah Muadz bin Jabal. Yang paling tahu tentang perkara fardhu Zaid bin Thabit.  Yang paling tahu membaca Ubaiy bin Kaab. Bagi setiap umat ada aminnya dan Amin umat ini Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”.

Rasulullah s.a.w meminta Zaid bin Thabit  mempelajari bahasa Suryani sehingga mampu menterjemah surat-surat yang sampai kepada Baginda. Zaid bin Thabit mempelajarinya dalam masa lima belas hari.  Rasulullah s.a.w membongkar bakat kepimpinan pada diri Khalid bin Al-Walid lalu diperintahkan mengetuai saraya dan tentera sebaik sahaja beliau memeluk Islam. Digelarkan kepada beliau sebagai salah satu dari pedang Allah tanpa menunggu ilmunya mencapai tahap Muadz atau Abdullah bin Mas’ud.

Rasulullah s.a.w sangat memberikan perhatian kepada membantu pemuda.  Setelah Bai’atul Aqabah Baginda menghantar Mus’ab bin Umair ke Madinah dan memerintah Mus’ab membaca kepada mereka al-Quran dan mengajarkan Islam. Baginda s.a.w mengutuskan Muadz bin Jabal ke Jund dalam daerah di Yaman dan menjadikan belaiu sebagai pemungut zakat harta diYaman.  Muadz turut serta dalam perang Badar ketika berusia dua puluh satu tahun.  Rasulullah s.a.w melantik Amru bin Hazam bin Zaid al-Khazraji yang berusia tujuh belas tahun untuk mengajarkan mereka agama, mengajar al-Quran dan memungut zakat dari kalangan masyarakat di situ. Setelah pembukaan Mekah, Rasulullah s.a.w melantik Utab bin Usaid bin Abi al-Aish bin Umaiyyah untuk mengurus penduduk Mekah. Beliau memeluk Islam pada hari pembukaan kota Mekah. Pada ketika itu beliau berusia awal dua puluhan. Hubungan baik ini berterusan antara para syuyukh dan juga para remaja pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin. Suatu yang tersebar meluas bahawa Sayyidina Umar r.a selalu mendahulukan Ibnu Abbas di dalam majlis-majlis dan syura beliau.

Antara sebab dinamik dan meningkatnya masyarakat ialah wujudnya hubungan ini yang tidak boleh terputus sama sekali. Tatkala hubungan ini merosak, akan berlaku percampuran yang buruk akibatnya. Ini prinsip asasi. Pemuda memiliki potensi yang dinamik.

Kelima:

Rasulullah s.a.w telah mentarbiyah para sahabat Baginda dengan tarbiyah kepimpinan dan mempersiapkan agar mereka mampu menumbuhkan keperibadian mereka supaya mampu membawa risalah Islam. Membiasakan mereka dengan sikap berterus-terang. Kadang-kadang mereka membantah dan mengeluarkan pandangan yang berbeza, tetapi Baginda Rasulullah s.a.w tidak pernah berkata kepada mereka; Bagaimana kamu boleh buat begini bersama Aku sedangkan Aku seorang Nabi. Sayyidina Umar r.a pernah membantah apabila Rasulullah s.a.w melakukan solat kepada pemuka Munafiqin Abdullah bin Ubaiy. Umar berkata, wahai Rasulullah s.a.w, beliau musuh Allah paling tinggi ? Rasulullah s.a.w tersenyum sehingga Baginda bersabda jarak diri dariku. Peristiwa itu berlaku sebelum turun ayat larangan melakukan solat ke atas munafiqin. Kata Umar; Aku hairan kenapa aku terlalu berani terhadap Rasulullah s.a.w.

Keenam:

Supaya seorang Muslim itu tidak terbiasa mengkritik, mengutuk dan mencerca orang-orang tua dari kalangan ahli ilmu dan mereka yang mempunyai kelebihan. Boleh jadi bisikan waswas dirinya agar membandingkan dan menilai kembali. Agar kita tidak terjatuh ke dalam fenomena ini, maka Rasulullah s.a.w menunjukkan adab Baginda dengan sabda: “Jangan memilih-milih di antara para Nabi”.  Sabda Baginda : “Tidak sayugia bagi seorang hamba itu berkata sesungguhnya aku lebih baik dari Yunus bin Matta”. Daripada Anas r.a berkata; Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah (s.a.w) “Wahai Khairul Bariyyah (sebaik-baik makhluk) maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Sebaik-baik makhluk itu adalah Ibrahim”  sedangkan Baginda s.a.w juga adalah sebaik-baik makhluk. Rasulullah s.a.w menyifatkan diri Baginda sebagai ketua anak adam (sayyid waladu adam), orang pertama yang keluar daripada bumi, orang pertama membawa syafaat dan orang pertama memberi syafaat”.

Kenapa Baginda Rasulullah s.a.w  mengatakan kepada para sahabatnya “jangan memilih-milih di antara para Nabi a.s.”? Supaya seorang Muslim itu tidak begitu berani membanding-bandingkan, memilih-milih atau mengurangi penilaian terhadap mana-mana Nabi. Apabila mereka berani bercakap tentang para Nabi, mereka juga akan berani bercakap tentang para sahabat, kemudian mereka akan berani bercakap juga tentang para ulama’.  Salman al-Farisi memahami tarbiyah yang sangat tinggi ini daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Umar bin Qarah, kata beliau:  Ketika Huzaifah berada di Madain, beliau menyebut beberapa perkara yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada orang ramai dari kalangan sahabat-sahabat beliau dalam keadaan marah. Beberapa orang yang mendengar ungkapan Huzaifah  datang kepada Salman dan melaporkan ungkapan Huzaifah tersebut. Kata Salman, Huzaifah itu lebih tahu apa yang beliau sebutkan, oleh itu merujuklah kepada Huzaifah. Mereka melaporkan balik kepada Huzaifah bahawa kami telah menyampaikan ungkapanmu wahai Huzaifah kepada Salman tetapi beliau tidak membenarkan dan tidak juga mendustakan kata-katamu. Lalu Huzaifah mendatangi Salman yang sedang berada di Mabqalah. Kata Huzaifah: Apa yang menghalang engkau dari membenarkan ungkapan aku dengan apa yang aku dengar dari Rasulullah s.a.w?  Jawab Salman: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah marah dan Baginda berkata dalam keadaan marah kepada sahabat-sahabatnya dan Baginda juga pernah redha, lalu Baginda bercakap kepada mereka dalam keadaan redha kepada sahabat-sahabatnya, janganlah ditegah ungkapan yang disebut Salaman kepada Huzaifah ini sehinggalah masuk ke dalam hati sesetengah rijal itu rasa kasih kepada setengah yang lain dan rasa marah sesetengah rijal kepada setengah yang lain sehinggalah berlaku perselisihan dan perpecahan. Demi Allah kamu berhenti atau aku akan menulisnya kepada Umar.

Ketujuh:

Rasulullah s.a.w  sangat mengambil berat tentang sahabat dan selalu bertanya tentang mereka. Baginda s.a.w  sentiasa berfikir tentang hal sahabat-sahabat nya.  Dari Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w berbincang di malam hari bersama Abu Bakar r.a tentang perihal umat Islam dan saya berada bersamanya. Ketika kematian syuhada dalam sariyyah ar- Rajii’ di dapati Rasulullah s.a.w mencari-cari ‘Ashim bin Thabit dengan penuh kasih sayang sehingga tidak sedikitpun merasa berat atau terbeban dengan cabaran dan kesukaran yang tempuhi. Menutup mata terhadap kesilapan yang berlaku sehingga sampai waktu yang sesuai untuk diungkapkan dalam bahasa yang lembut dan halus.

Setelah kembali Rasulullah s.a.w dari Badar, membawa empat sembilan tawanan dari asal tujuh puluh orang. Datang sekumpulan dari Bani Khazraj untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangan, lalu berkata salmah bin Salamah bin Waqasy: Atas dasar apa kalian mengucapkan tahniah kepada kami?  Demi Allah kami telah berperang dengan orang-orang tua yang tidak berambut. Rasulullah s.a.w tersenyum dan bersabda: “Wahai anak saudaraku, mereka itu adalah para pembesar dan dimuliakan oleh masyarakat”. Salmah merasai teguran Rasulullah s.a.w itu lalu berkata ‘Wahai Rasulullah, belum hilang dariku penghinaan semenjak kita di ar-Rauha’. Sabda Rasulullah s.a.w ; Engkau telah bersandar kepada satu dari nimat-nikmat Allah (kemenangan) yang engkau tidak miliki. Lalu Salamah memohon maaf kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menghargai kedudukan dan ketinggian sahabat-sahabat  dan mengingatkan yang lain tentang kedudukan itu yang wajib dihormati dan dihargai.

Imam Bukhari telah meriwayatkan dari hadith Abu Idris al-Khaulani, katanya aku mendengar Abu Darda’ yang berada di antara perbualan Abu Bakar dan Umar. Tiba-tiba Abu Bakar telah membuatkan Umar marah sehingga Umar berpaling lari daripada Abu Bakar . Abu Bakar mengekorinya sambil memohon maaf. Umar tidak menerima permohonan Abu Bakar sehingga pintu ditutup dihadapan Abu Bakar.  Abu Bakar pergi berjumpa Rasulullah s.a.w. Kata Abu Darda’: Kami ada bersama Baginda. Sabda Rasulullah s.a.w: “ Kenapa sahabat kamu ini, dia telah bermusuh” Kata Abu Darda: Umar menyesal dengan apa yang telah berlaku dan pergi bertemu Rasulullah s.a.w menceritakan kisah tersebut. Kata Abu Darda’ Baginda marah sehingga Abu Bakar: Demi Allah wahai Rasulullah, sesungguhya aku yang menzalimi. Baginda bersabda: Apakah kalian meninggalkan kepadaku sahabatku sedangkan Aku menyeru wahai sekalian manusia, sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepada kamu sekalian, lalu kalian menjawab: Engkau berdusta. Jawab Abu Bakar: Rasulullah Benar.

Pernah satu ketika berlaku perbualan antara Abu Bakar as-Siddiq , Suhaib, Khabbab, Bilal dan lain-lain berkenaan Abu Suffian bin Harb. Abu Bakar r.a melalui tempat mereka, lalu mereka berkata: Pedang-pedang itu tidak diambil dari musuh Allah  dengan betul. Lalu Abu Bakar berkata: Apakah kalian berkata demikian kepada seorang ketua Quraisy? Lalu Abu Bakar  menyebut perkara tersebut kepada Nabi s.a.w. Jawab Nabi s.a.w: Barangkali engkau telah menimbulkan kemarahan mereka ? Sekiranya aku telah menyebabkan mereka marah, sesungguhnya bermakna aku telah menyebabkan kemarahan TuhanMu. Abu Bakar bertanya kepada mereka, wahai saudara-saudaraku,  Adakah Aku telah menyebabkan kalian marah? Jawab mereka: Tidak.. Allah telah mengampunkan dosa mu wahai Abu Bakar.

Kelapan:

Rasulullah s.a.w menunjukkan kepada mereka kepada perkara-perkara yang tinggi dan mentaujihkan mereka untuk memikul risalah. Antaranya ialah panduan-panduan yang disebut ketika memukul batu dalam perang Khandak. Sabda Rasulullah s.a.w: “Aku melihat istana Kisra”. 

Ketika memimpin tentera ke Tabuk, orang Islam telah menjadi orang yang sedia  memahami cita-cita untuk mengislamkan manusia seluruhnya. Tidak terbatas hanya di Mekah atau hanya di Madinah! Tidak hanya cukup di Syam, Farsi dan Mesir! Dunia seluruhnya menjadi medan dakwah yang diterokai. Abu Ayyub al-Ansari telah dikebumikan di sisi pagar kota Constantinople. Para sahabat sibuk ke Timur dan Barat dan tinggal di tempat-tempat baru mereka. Ini adalah sebahagian contoh dari taujih dan tarbiyah Baginda Nabi s.a.w yang terdapat di dalam al-Quran dan dalam catatan sirah Nabi. Yang pastinya, diulang pembentukan peribadi muslim  agar memiliki tahap kebertanggungjawaban dan tahap tugasan amanah yang dipikulkan kepadanya.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply