Hutang Tidak Berbayar

Wabak yang semakin merebak. Membingungkan para cerdik pandai. Mengekang tangan-tangan orang yang pemurah. Menghinakan segolongan orang-orang yang mulia. Itulah wabak hutang tidak berbayar. Hutang semakin bertimbun pada sesetengah orang sehingga berakhir urusannya di meja mahkamah, atau di dalam jeriji penjara, ataupun ke meja lelongan barang sita yang selama ini diabdikan diri seluruh usia untuk mengumpulnya. Akhirnya kesemua itu atau sebahagiannya  dipulangkan kepada institusi yang memberikan pinjaman.

Agar fenomena di atas tidak memburu kehidupan saudara, saya ingin berkongsi dengan saudara-saudari yang dikasihi beberapa pesanan dari kekasih kita Rasulullah s.a.w:

Dari riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih dari Jabir r.a, katanya: seorang lelaki telah meninggal dunia, maka kami mandikan, uruskan dan kafankannya kemudian kami bawa jenazah itu kepada Rasulullah s.a.w untuk disolatkan. Kami bertanya, adakah Rasulullah  akan melakukan solat terhadap jenazah ini? Baginda melangkah satu langkah kemudian bertanya adakah jenazah ini menanggung hutang? Kami menjawab: Dua dinar, maka Baginda beredar. Dua dinar itu ditanggung oleh Abu Qatadah, lalu kami mendatangi beliau. Kata Abu Qatadah, dua dinar itu saya yang tanggung. Rasulullah s.a.w bersabda: Adakah diberi hak kepada orang yang berhutang dan bersih si mati ini dari kedua-dua dinar itu? Jawabnya: Benar, maka Nabi s.a.w melakukan solat jenazah. Setelah satu hari berlalu Baginda s.a.w bertanya : Apa terjadi dengan dua dinar ? Katanya: Sesungguhnya beliau sudah meninggal dunia semalam, maka balik kepadanya semenjak semalam. Kata Abu Qatadah: Dua dinar itu telah saya selesaikan. Sabda Baginda s.a.w: “Sekarang telah sejuklah kulitnya”.

أخرج الإمام أحمدبسند صحيح عن جَابِرٍ رضي الله عنه قَالَ تُوُفِّيَ رَجُلٌ فَغَسَّلْنَاهُ وَحَنَّطْنَاهُ وَكَفَّنَّاهُ ثُمَّ أَتَيْنَا بِهِ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي عَلَيْهِ فَقُلْنَا تُصَلِّي عَلَيْهِ فَخَطَا خُطًى ثُمَّ قَالَ أَعَلَيْهِ دَيْنٌ؟.قُلْنَا دِينَارَانِ فَانْصَرَفَ فَتَحَمَّلَهُمَا أَبُوقَتَادَةَ فَأَتَيْنَاهُ فَقَالَ أَبُو قَتَادَةَ الدِّينَارَانِ عَلَيَّ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : ((أُحِقَّ الْغَرِيمُ وَبَرِئَ مِنْهُمَا الْمَيِّتُ؟))قَالَ:نَعَمْ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ بَعْدَ ذَلِكَ بِيَوْمٍ:((مَا فَعَلَ الدِّينَارَانِ؟)) فَقَالَ إِنَّمَا مَاتَ أَمْسِ قَالَ فَعَادَ إِلَيْهِ مِنْ الْغَدِ فَقَالَ لَقَدْ قَضَيْتُهُمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :((الْآنَ بَرَدَتْ عَلَيْهِ جِلْدُهُ))(أحمد،باقي مسند المكثرين،(14009))

Dari Abu Hurairah r.a  berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda: :

((نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ))

Ertinya: Jiwa orang beriman bergantung dengan hutangnya sehinggalah dijelaskan bayarannya.

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “diampunkan kepada orang yang mati syahid semua dosa kecuali hutang”.

:((يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ))(مسلم،الإمارة،ح(3498))

 Daripada Muhammad bin Jahsy katanya kami duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba Baginda mengangkat kepala ke langit dan meletakkan tapak tangan di atas dahi kemudian bersabda: “Maha Suci Allah, apakah yang diturunkan dari ‘tasydid’. Maka kami terdiam dan kami merasa takut. Keesokan harinya saya bertanya: Wahai Rasulullah, apa maksud ‘tasydid’ diturunkan ? Sabda Baginda s.a.w: “Demi yang diriku di dalam genggamannya,  kalau seorang lelaki dibunuh di jalan Allah kemudian dihidupkan, kemudian dibunuh lagi di jalan Allah kemudian dihidupkan kemudian dibunuh lagi sedang dia masih berhutang, nescaya tidak masuk syurga sehingga diselesaikan hutang tersebut”.

وعَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جَحْشٍ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَرَفَعَ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ وَضَعَ رَاحَتَهُ عَلَى جَبْهَتِهِ ثُمَّ قَالَ:((سُبْحَانَ اللَّهِ مَاذَا نُزِّلَ مِنْ التَّشْدِيدِ))فَسَكَتْنَا وَفَزِعْنَا فَلَمَّا كَانَ مِنْ الْغَدِ سَأَلْتُهُ:يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هَذَا التَّشْدِيدُ الَّذِي نُزِّلَ فَقَالَ:((وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ رَجُلًا قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ أُحْيِيَ ثُمَّ قُتِلَ ثُمَّ أُحْيِيَ ثُمَّ قُتِلَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ مَا دَخَلَ الْجَنَّةَ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ دَيْنُهُ))(النسائي،البيوع،ح(4605)}إسناده حسن]).

Daripada Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w Baginda bersabda: “Sesiapa yang mengambil harta manusia dalam keadaan dia ingin membayarnya, maka Allah s.w.t akan membayarnya. Sesiapa yang mengambilnya dalam keadaan melenyapkannya, maka Allah akan melenyapkannya”.

وعن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:((مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ))(البخاري،كتاب في الاستقراض..،ح(2212)).

Saudaraku yang dikasihi, bertaqwalah kepada Allah dalam apa jua keadaan kita. Apabila kita berhutang, jadikanlah “membayar hutang” itu agenda utama kehidupan kita, agar Allah membantu kita agar tidak digeluti hutang-hutang yang tidak berbayar. Ia menutup pintu menuju syurga Allah. Buatlah jadual pembayaran yang baik, walaupun jumlahnya tidak besar. Berikanlah komitmen terbaik dalam membayarnya.

Para isteri wajib mendokong dan membantu usaha suami dalam menyelesaikan hutang dengan meraikan suasana ekonomi yang dihadapi bersama. Kecilkan perbelanjaan dan berjimat dalam mengurus kewangan. Seluruh ahli keluarga juga sayugia turut serta dalam usaha untuk keluar dari kemelut yang menyekat kita dari memasuki syurga Allah. Mohonlah doa sebagaimana yang diajarkan oleh Baginda s.a.w:

“Ya Allah ! sesungguhnya Aku berlindung dengan Engkau dari keresahan dan kedukacitaan, kelemahan dan kemalasan, pengecut dan bakhil, dominasi hutang dan paksaan orang lain” :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ))(البخاري،الدعوات،ح((5892)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp

Leave a Reply